Kaca Mata Buta

Dia tidak pernah berani memandang jiwa itu lebih daripada 10 kali. Jika lebih, dia gusar pandangan tajam jiwa itu boleh menusuk tubuhnya. Dia risau, jiwa itu boleh mengugat nafsunya, batinnya.

Lantas dia cipta satu kaca mata paling hebat di dunia. Kaca mata itu lain, lain dari yang lain. Bukan sekadar kaca mata yang kau boleh beli di kedai kaca mata. Lain dari levis, hebat dari guess, lagi mengancam dari sub. Kaca mata itu dinamakan kaca mata buta.  

Bila dia pakai kaca mata itu, dia boleh lihat seluruh semesta, kecuali jiwa itu. Makanya, kini dia tidak perlu gusar lagi. Nafsunya selamat, batinnya tak tergugat. Kaca matanya, penyelamat dunianya.

Tapi, dia lupa.

Lama kelamaan, tanpa dia sedari, jiwa itu menghampirinya. Perlahan-lahan, jiwa itu mendekatinya dan cuba untuk merasuk hatinya. Cuba untuk menghiris hatinya menjadi kepingan-kepingan daging yang tercerai. Cuba untuk menakluk dan bertakhta di hatinya.

Bila dekat, zaaap. Jiwa itu patahkan kaca matanya. Dia, tergumam. Jiwa itu betul-betul dihadapannya. Dalam mikro saat, jiwa dia bedegup kencang. Dia, jatuh cinta.

Saat itu baru dia tersedar, bahawa dia lupa.

Cinta itu buta. 

.