Bunga Biru Bulat-Bulat Merah

Pertama kali melihat dia, jiwa aku nekad mengatakan aku jatuh cinta. Tapi aku tahu, aku tak akan dapat bersamanya. Aku tahu, semua akan hancur belaka. Jadi, aku lari. Aku langkah besar-besar supaya boleh lari dari dia.

Dia (yang innocence) fikir aku main kejar-kejar. Jadi dia kejar aku. Aku tengok muka dia berlari. Letih. Mata kuyu. Cilaka. Aku lagi jatuh cinta. Aku lari lagi. Dia kejar lagi.

Sampailah kepulan-kepulan oksigen tak lagi aku mampu sedut, aku jatuh terjelopok ditepi. Dia yang masih punyai secebis tenaga dengan penuh semangat menyetuh aku. Nah! Menang! Katanya. Aku dapat lihat wajah riang di mukanya. Aku diamkan saja. Aku letih, aku berdebar, aku keliru. Kalau boleh, aku mahu bercumbu dengan dia sekarang.  Saat matanya separuh terbuka. Supaya dia tahu, aku suka dia. Supaya dia tahu, aku bukan lelaki biasa.

Tapi aku batalkan saja. Itu cara John. Cara aku bukan begitu. Lantas aku capai tangan aku panjang-panjang, aku ambil sekuntum bunga. Bunga warna biru. Berbentuk bulat, ditengah-tengahnya ada warna merah. Comel. Sama comel dengan dia. Lalu dengan penuh gentlemen, aku bagi padanya. Aku kata. Nah. Hadiah sebab you menang.

Dia ambil. Dia hidu. Mungkin cuba untuk mencari bau perfume-mahal-gaya-metropolitan pada bunga itu. Atau mungkin dia cuba menghidu bau-bau natural yang boleh buat dia khayal ke dunia maya. Atau mungkin juga, dia mencari bau aku. Mungkin.

Tiba-tiba bibirnya bengkak. Matanya merah. Kulitnya timbul titik-titik merah. Belum sempat dia bersuara, dia pengsan. Aku cemas. Aku selongkar beg galasnya, aku jumpa ubat. Untuk alahan bunga. 

Celaka.

Kan aku dah kata, semua akan hancur belaka.

2 comments:

RastaMat said...

cess..
spoil lah..

. said...

haha knp begini?
aiyaaa!!!